Alih Tulisan Kitab Aqidah Tohawiyyah

20 12 2008

Kitab Perisai Bagi Sekalian Mukallaf (Bahagian 1)

‘Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani’

Kitab Perisai Bagi Sekalian Mukallaf atau Simpulan Iman Atas Mazhab Salaf

oleh As-Sheikh Abdul Qadir Abdul Mutalib Al-Indunisi Al-Mandili

Muqaddimah:

Kitab Aqidah ahli Sunnah Wal-Jama’ah ini adalah karangan al-Imam Abu Ja’far Ahmad bin Muhamad bin Salamah At-Tohawi[1] juga dikenali sebagai Imam Tahawi yang lahir di Mesir dan hidup pada 239-321 H iaitu zaman puncak berlakunya perkembangan 4 mazhab, ilmu hadis dan fiqh. Matan (perkataan pengarang yang asal dalam bahasa Arab) kitab adalah berdasarkan aqidah salaf (golongan para sahabat, tabi’in dan itba’ tabi’in) tetapi dalam aliran tohawiyyah. Mazhab mereka lebih baik kerana penulisannya berlaku ketika sebaik-baik kurun. Syarahnya (penjelasan) pula ditulis oleh As-Sheikh Abdul Qadir Abdul Mutalib Al-Indunisi Al-Mandili pada 1380 H bersamaan 1961 M. Syarah ditulis berdasarkan al-Quran, kitab-kitab tafsir, hadis serta ilmu usuluddin.


Mukallaf yang berasal dari perkatan kallaf bermaksud orang yang bertanggungjawab / orang yang diberi beban dan syarat-syarat bagi mukallaf ialah baligh, mumaiyiz (berakal) dan Islam.


Keseluruhannya, kitab ini mengandungi prinsip-prinsip aqidah ahli Sunnah Wal-Jama’ah iaitu ilmu mengenal Tuhan yang Maha Menjadikan sesuatu melalui nama (Al-Asma’), sifat dan perbuatanNya.

Berkata Sheikh At Tohawi ( Matan):

Berkata kami pada mengEsakan Allah Taala pada ketika meng’iktiqadkan dengan petunjuk Allah Taala, bahawasanya Allah Taala Tunggal tiada yang bersekutu bagiNya.

Syarah Sheikh Al Mandili:

Ketahui olehmu bahawasanya tauhid ertinya meng’iktiqadkan ketunggalan Allah Taala itu ialah permulaan seruan sekalian Rasul. Telah berfirman Allah Taala ertinya “Demi Allah sesungguhnya telah kami utus akan Nabi Nuh a.s. kepada umatnya maka bersabda ia. Hai umatku ‘ibadatkan oleh kamu akan Allah Taala ketunggalanNya kerana tiada ada bagi kamu Tuhan yang disembah dengan sebenar bilangan daripadanya”[2] dan firman Allah Taala ertinya “Dan tiada Kami utus dahulu daripada engkau akan seorang pesuruh melainkan Kami beritahu kepadanya bahawasanya tiada yang disembah dengan sebenar melainkan Aku, maka ‘ibadatkan oleh kamu akan Daku”[3]. Dan sabda Nabi s.a.w. ertinya, ‘Disuruh akan daku dengan memerangi manusia hingga mensaksikan mereka itu bahawa tiada yang disembah dengan sebenar melainkan Allah Taala dan bahawasanya aku pesuruh Allah Taala’[4].

Dan ketahui olehmu bahawasanya tauhid itu terbahagi ia tiga bahagian, pertama Tauhid Rububiyah (tauhid pengasuhan/urus), ertinya mengEsakan Allah Taala dengan segala perbuatannya, dan kedua Tauhid Uluhiyah, ertinya mengEsakan Allah Taala dengan(daripada) segala perbuatan hamba, ketiga Tauhid Al-Asma’ wa Sifat, ertinya mengEsakan Allah Taala dengan segala nama dan sifatNya. Wallahualam.

  1. Tauhid Rububiyah

Bermula Tauhid Rububiyah iaitu mengEsakan Allah Taala dengan segala perbuatanNya, seperti menjadikan dan memberi rezeki dan menghidupkan dan mematikan dan menurunkan hujan dan memelihara dan memberi manfat dan memberi mudharat, dan umpama yang demikian itu, maka wajib atas tiap-tiap orang yang ber’akal lagi yang sampai ‘umur memutuskan ia di dalam hatinya bahawa tiada ada yang menjadikan melainkan Allah Taala, dan tiada ada yang memberi rezeki melainkan Allah Taala, dan tiada ada yang menghidupkan melainkan Allah Taala. Dan tiada yang mematikan melainkan Allah Taala, dan tiada ada yang menurunkan hujan melainkan Allah Taala, dan tiada yang memeliharakan sekalian makhluk melainkan Allah Taala, dan tiada ada yang memberi mudharat melainkan Allah Taala, dan tiada ada yang memberi manfaat melainkan Allah Taala, dan tiada ada yang mengampuni segala dosa melainkan Allah Taala, dan tiada ada yang memberi bekas melainkan Allah Taala, dan qias[5] olehmu barang yang lain daripada segala yang tersebut.

Maka tiada memberi bekas api pada menghanguskan, dan tiada memberi bekas makanan pada mengenyangkan, dan tiada memberi bekas hantu dan pelesit dan tok keramat dan tok nenek pada mendatangkan penyakit dan lainnya. Maka barang siapa meng’iktiqadkan akan memberi bekas sesuatu yang lain daripada Allah Taala maka tiada syak pada kafirnya, seperti mereka yang meng’iktiqadkan akan hantu laut kuasa menggoda orang yang bekerja di laut jika tiada dijamu akan dia dengan kerbau balar atau lainnya, dan seperti mereka yang meng’iktiqadkan bahawasanya tok nenek dan hantu darat dan tok keramat kuasa mendatangkan penyakit jika tiada diminta tabik dan diminta maaf daripada mereka itu, atau tiada dijamu mereka itu dengan nasi putih kuning dan bertih dan memasang dian (lilin). Dan hendaklah engkau ketahui bahawasanya hantu dan jin dan pelesit dan tok keramat dan tok nenek semuanya itu makhluk Allah Taala yang lemah seperti engkau jua, maka jangan engkau takut akan sekalian yang tersebut dan jangan engkau harap akan memelihara mereka itu akan dikau, dan hendaklah engkau simpankan akan takut engkau dan harap engkau pada Allah Taala, dan jangan engkau minta tolong akan hantu dan jin dan lainnya, dan hendaklah ada minta tolong engkau akan Allah Taala jua. Ertinya “Akan Engkau jua wahai Allah kami ‘ibadatkan, dan akan Engkau jua kami minta tolong pada segala pekerjaan kami[6]“. Wallahualam.

Dan Tauhid Rububiyah ini mengaku dengan dia oleh orang-orang kafir pada masa hidup Rasulullah SAW, tetapi memasukkan ia akan mereka itu ke dalam agama Islam, kerana engkar mereka itu akan Tauhid Uluhiyah yang akan datang, bermula dalil atas mengaku mereka itu dengan Tauhid Rububiyah firman Allah Taala ertinya, “Demi Allah sesungguhnya jika bertanya Engkau akan musyrikin itu dengan perkataan engkau : Siapa yang menjadikan akan segala langit dan bumi? Nescaya berkata mereka itu pada menjawab pertanyaan engkau itu : Menjadikan akan dia oleh Allah[7], dan firmannya ertinya “Dan demi Allah jika bertanya engkau akan kafir Mekah dengan perkataan engkau, siapa yang menjadikan segala langit dan bumi? Nescaya menjawab oleh mereka itu : Menjadikan akan dia oleh Tuhan yang menang yang tiada dikalahkan lagi yang sangat mengetahui[8]“, dan firman Allah Taala ertinya “Katakan olehmu hai Rasulullah, bagi siapa bumi dan mereka yang padanya, jika mengetahui oleh kamu akan yang menjadikannya dan yang empunyanya selagi berkata mereka itu : bagi Allah Taala[9]“, dan beberapa ayat Quran yang lain.

Dan bermula ini tauhid sebenar ia tiada ada syak padanya, bahkan segala hati manusia dijadikan akan dia atas mengaku dengan ini tauhid lebih daripada mengaku dengan yang lainnya daripada segala yang ada. Seperti sabda sekalian Rasul pada barang yang menceritakan akan dia oleh Allah Taala daripada mereka itu di dalam Quran ertinya “Telah bersabda sekalian ?Rasul mereka itu : Tiada ada syak pada Allah Taala Tuhan yang menjadikan segala langit dan bumi, dan sedangkan firaun yakin ia dengan ini tauhid di dalam hatinya, seperti sabda Nabi Musa a.s. ertinya “Sungguhnya telah mengetahui engkau hai firaun tiada menurunkan akan segala mukjizat ini atas aku melainkan Tuhan yang menjadikan segala langit dan bumi, menunjuki yang nyata atas kebenaranku, tetapi engkau engkarkan akan Dia pada zahir kerana dengki dan kasih akan dunia[10]“. Dan firman Allah Taala ertinya “Dan engkar dan mendustakan oleh firaun dan kaumnya akan segala mukjizat Nabi Musa itu dengan lidah mereka itu dan yakin akan dia oleh segala hati mereka itu, kerana zalim dan takbur[11]“, dan yang masyhur pada sisi ‘ulama usuludin mengisbatkan[12] tauhid ini dengan dalil tamanu’[13], dan iaitu : bahawasanya jika ada bagi alam dua yang menjadikan, maka pada ketika bersalah-salahan keduanya seperti berkehendak salah satu daripada keduanya menggerakkan satu jisim, dan berkehendak yang satu lagi mendiamkannya, atau berkehendak satu daripada keduanya menghidupkan akan seorang dan berkehendak yang lain mematikannya. Maka adakalanya bahawa hasil kehendak keduanya, atau kehendak salah suatu daripada keduanya, atau tiada hasil kehendak satu daripada keduanya. Dan bermula yang pertama itu tertegah ia, ertinya mustahil ia, kerana bahawasanya melazimkan ia akan menghimpunkan dua yang berlawanan. Dan yang ketiga pun mustahil juga. Kerana melazimkan ia akan sunyi jisim daripada gerak dan diam, dan iaitu tiada diterima akal, dan melazimkan juga ia akan lemah tiap-tiap daripada keduanya, dan yang lemah tiada ada ia Tuhan, dan apabila hasil kehendak salah satu daripada keduanya tiada bilangan nescaya adalah ia Tuhan yang kuasa, dan adalah yang lain itu lemah tiada patut ia bagi ketuhanan, berkata banyak daripada ‘ulama bahawasanya dalil tamanu’ ini ialah makna firman Allah Taala ertinya “Jika ada pada langit dan bumi Tuhan yang lain daripada Allah Taala nescaya binasa keduanya[14]“. Wallahualam.

2. Tauhid Uluhiyah

Dan bermula Tauhid Uluhiyah iaitu mengEsakan Allah Taala dengan (daripada) segala perbuatan hamba yang mensyirikkan akan dia oleh Allah Taala bagi mereka itu. Seperti doa dan nazar dan menyembelih qurban dan minta tolong dan sembahyang dan puasa dan zakat dan haji dan umrah dan lain daripada yang demikian, maka wajib atas tiap-tiap mukallaf bahawa tiada mendoa ia melainkan akan Allah Taala, dan bahawa tiada bernazar ia melainkan bagi Allah Taala, dan bahawa tiada minta tolong ia melainkan Allah Taala, dan bahawa tiada sembahyang ia melainkan kerana Allah Taala, dan bahawa tiada takut ia melainkan akan Allah Taala, dan bahawa tiada harap ia melainkan akan Allah Taala, dan bahawa tiada menyembelih qurban ia melainkan bagi Allah Taala, dan bahawa tiada sujud ia melainkan bagi Allah Taala, dan bahawa tiada berserah ia melainkan kepada Allah Taala. Pendeknya bahawa tiada mengerjakan ia akan ‘amal ibadat melainkan kerana Allah sahaja, dan jangan menyengutukan ia akan Allah Taala dengan makhluknya pada ibadatnya. Maka jangan minta ampun ia daripada segala dosa melainkan akan Allah Taala, kerana tiada ada yang mengampuni dosa melainkan Allah Taala seperti yang tersebut di dalam saidul istighfar maka tiada harus bagi seseorang minta ampun dan minta maaf akan hantu atau tok keramat atau tok nenek, seperti berkata ia pada ketika lalu pada tempat yang disangkanya ada hantu padanya : (Assalamualaikum. Minta tabik datuk bumi putera di sini, jangan ambil salah silih, anak cucu tiada erti bas. Minta ampun maaflah) maka yang demikian itu perbuatan orang jahiliyah, kerana firman Allah Taala ertinya “Dan bahawasanya adalah pada zaman jahiliyah beberapa orang laki-laki dripada manusia meminta pelihara mereka itu dengan beberapa laki-laki daripada jin”, pada ketika berhenti mereka itu di dalam perjalanan mereka itu pada tempat yang ditakuti. Dan jangan menyembelih ia akan binatang seperti ayam dan kambing dan kerbau balar dan lainnya kerana hantu laut atau hantu darat atau tok nenek atau tok keramat atau lainnya, kerana sabda Nabi SAW : ertinya menjauhkan Allah Taala daripada rahmatnya akan mereka yang menyembelih kerana lain daripada Allah Taala. Menceritakan dia oleh Muslim. Berkata Imam Nawawi di dalam syarah Muslim : Maka barang siapa menyembelih ia kerana berhala atau kerana palang atau kerana Nabi Musa a.s. atau kerana Nabi Isa a.s. atau kerana kaabah atau umpama yang demikian itu maka sekalian ini haram, dan tiada halal ini yang disembelih. Sama ada yang menyembelih itu orang Islam atau orang Kristian atau orang Yahudi. Telah menyebut akan dia dengan terus terang oleh ulama’ Al-Syafie r.a., dan telah setuju atasnya sekalian ashab kita (as-shafi’iyah). Maka jika mengqasad ia serta yang demikian itu akan membesarkan akan yang disembelih kerananya yang lain daripada Allah Taala (seperti hantu dan tok nenek dan tok keramat) dan beribadat baginya nescaya adalah yang demikian itu kafir. Maka jika ada yang menyembelih itu orang Islam dahulu daripada demikian itu nescaya jadilah ia dengan menyembelih itu murtad wal’iyazubillah. Intaha[15].

Dan ini tauhid ialah yang mengingkarkan akan dia oleh musyrikun, dan inilah perbantahan antara sekalian Rasul dan sekalian umat mereka itu dari semenjak Nabi Nuh a.s. sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w., seperti firman Allah Taala ertinya “Dan sungguhnya telah diberitahu kepada engkau hai Rasulullah, dan kepada sekalian Rasul yang dahulu daripada engkau, demi Allah jika menyengutukan engkau akan Allah Taala pada ibadat-fardhu taqdir-nescaya batal segala amal ibadat engkau, dan nescaya adalah engkau daripada sekalian yang rugi di dunia akhirat[16]“, dan firmanNya ertinya “Diberitahu kepada aku bahawasanya segala tempat sembahyang itu tertentu ia bagi Allah Taala. Maka jangan kamu ibadatkan padanya akan seseorang serta Allah Taala[17]“, dan firmannya. Ertinya “Bersabda olehmu hai Rasulullah bahawasanya sembahyangku dan menyembelih aku dan hidupku dan matiku tertentu semuanya bagi Allah Taala yang menjadikan sekalian alam, tiada yang menyengutui baginya, dan dengan ini tauhid disuruh akan daku, dan aku yang mula-mula mengikut akan perintah Allah Taala dengan ditilik kepada ini umat[18]“, dan sabda Nabi s.a.w ertinya ‘Apabila berkehendak engkau meminta akan sesuatu maka minta olehmu akan Allah s.w.t, dan apabila menghendaki engkau akan meminta tolong maka minta tolong olehmu akan Allah Taala[19]‘, dan ketahui olehmu bahawasanya sekalian makhluk jika berhimpun mereka itu atas memberi manfaat akan dikau dengan sesuatu nescaya tiada memberi manfaat mereka itu akan dikau melainkan dengan sesuatu yang sungguhnya telah menulis Allah Taala akan dia bagi engkau, dan jika berhimpun mereka itu atas bahawa memberi mudharat akan dikau dengan sesuatu nescaya tiada memberi mudharat mereka itu akan dikau melainkan dengan sesuatu yang sungguhnya telah menulis akan dia oleh Allah Taala atas engkau. Wallahualam.

* Pengajian Kitab Aqidah Tohawiyyah ini telah dianjurkan  oleh Skuad Penyelamat Aqidah (SPAQ) bermula akhir tahun 2007 dan masih diteruskan hingga kini. Tulisan asal kitab adalah dalam Bahasa Jawi. Semoga usaha ini dapat menimbulkan minat untuk sama mempelajari ilmu-ilmu di dalam kitab tradisional sekaligus meningkatkan martabat tulisan jawi.

Disediakan oleh :

Wardah bt Abdul Rahman

USM, Pulau Pinang.

qatrun_nada13@yahoo.com

http://ulum-ulama.blogspot.com/


[1] Berasal dari suatu tempat bernama Toha

[2] Surah Al-A’raf : 59

[3] Surah Al-Anbiya : 25

[4] Meriwayatkan akan dia oleh Ashabul Kitab As-Sittah (Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, At-Tarmizi, An-Nasai dan Ibnu Majah) dan ia hadis mutawatir (hadis kuat)

[5] Analogi/perumpamaan

[6] Surah Al-Fatihah : 5

[7] Surah Luqman : 25

[8] Surah Az-Zakhraf : 9

[9] Surah Al-Mukminun : 84

[10] Surah Al-Isra’ : 102

[11] Surah An-Naml : 14

[12] Menetapkan Allah pada sesuatu

[13] Dalil yang digunakan oleh aqidah khalaf, bukannya salaf

[14] Surah Al-Anbiya’ : 22

[15] Habis (dalam Bahasa Arab)

[16] Surah Az-Zamru : 65

[17] Surah Al-Jin : 18

[18] Surah Al-An’am : 162

[19] Riwayat At-Tarmizi dan dikatakan hadis hasan sahih


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: