Ulama’, Fatwa dan Syariah; huraian kekeliruan non-muslim

14 12 2008

Ulama’, fatwa dan syariah; huraian kekeliruan non-muslim.

Muhammad Nuruddin Bashah

Bc (Hons) Material Engineering

University Of Malaya

Saya ada berbahas dan berbincang dengan beberapa sahabat non-muslim yang kurang memahami konsep-konsep umum agama Islam. Perbincangan hanya melalui ruang siber dan amat terbatas untuk saya jelaskan kepada mereka. Namun begitu usaha untuk menyebar pengetahuan (yatlu a’laihim ayatihi) perlu diteruskan malah ia masih berjalan lagi.

Kes pertikaian fatwa pada saya telah menimbulkan suatu senario pertikaian dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam malah ia menampilkan tahap sebenar pengetahuan umat Islam berkenaan institusi fatwa dalam agama Islam. Walaupun institusi ini adalah sunnah Rasulullah (Nabi Muhammad) dan ia menjadi wadah utama pensyariatan Islam, di Malaysia ia hanya suatu majlis yang amat terbatas ruang kuasanya. Ia memerlukan legitimasi daripada badan perundangan dan pensahihan oleh Majlis Agama dan sebagainya. Jika tidak diperundangkan, maka fatwa di Malaysia tidak akan dikuatkuasakan oleh badan/pasukan penguatkuasa.

Mari kita lihat istilah fatwa dan asal usul istilah ini sebelum anda memahami bagaimana tingginya fatwa sehingga Allah juga mengeluarkan fatwa!

Fatwa Allah:

Sepertimana Firman Allah s.w.t. di dalam Surah An-Nisa ayat 176 :

Maksudnya : Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad, mengenai masalah Kalalah). Katakanlah : Allah memberi fatwa kepada kamu dalam perkara Kalalah itu.

Fatwa Muhammad:

Sepertimana Firman Allah s.w.t. di dalam Surah An-Nisaa ayat 127 :

Maksudnya : Dan mereka meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hak dan kewajipan) kaum perempuan. Katakanlah olehmu : Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada kamu.

Fatwa oleh ulama dan maksud perkataan fatwa:

· Maksudnya : Fatwa ialah (kata nama) daripada (kata kerja) difatwakan oleh seseorang Ulama’ apabila dia menjelaskan sesuatu hukum. – (Himpunan Fatwa Mesir Jld. 1, h. 8)

· Fatwa ialah menerangkan hukum-hukum Allah s.w.t. dengan berpandukan dalil-dalil Syara secara umum dan Syumul (Komprehensif). (al-Fatwa al-Islamiah. Jld. 1, h. 8)

· Al-Syatibi   dalam Kitab al-Muwafaqat telah menjelaskan kedudukan Mufti katanya : Maksudnya : Kedudukan Mufti di kalangan umat ialah pengganti tempat Nabi s.a.w. kerana Ulama’ itu mempusakai tugas para Nabi sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Sesungguhnya Ulama’ itu adalah pewaris para Nabi dan Nabi tidak meninggalkan pusaka dinar dan dirham, tetapi mereka meninggalkan pusaka ilmu”.

Fatwa adalah penjelasan HUKUM. Allah menjelaskan hukum. Muhammad juga menjelaskan lagi hukum dalam konteks insaniah (kemanusiaan) melalui teladan hidupnya sebagai manusia biasa. Mereka berfatwa. Ulama’ hanya berfatwa perkara yang tiada dalam kes-kes hidup zaman Muhammad. Seperti haramnya pengkid, di zaman Muhammad perkataan pengkid tidak wujud. Darihal itu, fatwa tentang pengkid diperlukan pada hari ini. Adakah sama fatwa Allah dengan fatwa ulama’? Tidak sama kerana fatwa Allah adalah ayat AL-Quran, manakala fatwa ulama’ adalah juga bersandarkan kepada ayat Al-Quran. Ia hanya menerangkan lagi apa yang telah Allah perintahkan.

Adakah begitu mudah sahaja berfatwa? Lihat amaran Muhammad terhadap sesiapa yang berfatwa;

Maksudnya : Sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa kepastian (sumbernya), maka sesungguhnya dosanya ke atas orang yang memberi fatwa. (al-Musnad Ahmad Ibn Hanbal) – (Jld. 2, h. 321)

Jadi fatwa perlu dikaji. Saya rasakan di Malaysia umat Islam sendiri tidak faham bagaimana fatwa ulama’ di Malaysia dijalankan. Di Malaysia fatwa hanya dikeluarkan selepas ia diminta oleh sesiapa sahaja termasuk orang perseorangan. Fatwa dimohon untuk menjelaskan sesuatu isu kepada Jawatankuasa Fatwa atau Majlis Mufti (negeri-negeri). Panel pengkaji akan dibuat di mana yang ahli dalam bidang itu seperti saintis dan sebagainya. Manakala barisan ahli agama yang mahir akan meneliti dalil-dalil(bukti) daripada Al Quran dan Hadis yang sahih.

Di sini saya sertakan beberapa persoalan sahabat-sahabat saya berkaitan isu fatwa.

Soalan biasa non muslim

1. Adakah fatwa itu suatu ruang untuk mufti atau ahli fatwa sembarono membina undang-undang syariah? Bukankah Mahkamah Syariah telah ada dan diperundangkan?

Bila disebut undang-undang Islam, bukan Islam akan membayangkan mahkamah Syariah Malaysia adalah mewakili semua undang-undang Islam. Hakikatnya tidak. Undang-undang Islam ada dalam kehidupan seperti;

· Cara berjiran dan hak kejiranan

· Cara berpakaian, memakan makanan yang halal dan baik

· Peraturan berbuat baik kepada haiwan, tumbuhan dan alam sekitar.

· Peraturan ekonomi

· Peraturan beribadah (*sembahyang, zakat dan puasa)

· Tatacara berperang secara Islam

· Undang-undang ekonomi secara Islam (dalam Bank-bank di malaysia)

Nyatalah undang-undang Islam bukan sekadar HUKUMAN di Mahkamah. Ia adalah cara hidup iaitu perintah dan pencegahan. Nasihat dan saranan untuk kualiti hidup yang lebih baik. Jika di zaman Nabi Muhammad, fatwa akan terus menjadi undang-undang. Di Malaysia fatwa hanya sah dijadikan hukuman selepas disahkan oleh Raja serta Dewan Undangan dan sebagainya (digazetkan/diwartakan). Janganlah dianggap jika fatwa pengkid tidak diwartakan maka ia bukan pula undang-undang Islam. Hakikatnya ia adalah tetap haram. Cuma ruang untuk mendakwa sesiapa yang bersalah sahaja tiada apabila fatwa itu belum digazetkan di Malaysia. Jangan menganggap fatwa yang tidak digazetkan bukan undang-undang Islam. Ia tetap undang-undang Islam, Cuma bukan Undang-Undang mahkamah Syariah di Malaysia.

2. Bukankah telah ada syariah Islam, kenapa perlu ada fatwa?

Kerana Islam agama fitrah insani. Islam agama yang kontemporari dan berjalan dengan zaman. Tiada agama lain yang mengeluarkan hukum berkaitan isu klon, bayi tabung uji, isu DNA dan sebagainya. Ulama’ Islam masih bekerja keras mengeluarkan hukum bertepatan dengan teknologi hari ini. Baik, perlu difahami syariah itu adalah semua peraturan HIDUP Islam yang ditetap dalam Al-Quran dan sunnah (teladan) Muhammad. Ia tetap (fixed). Tetapi untuk memastikan syariah itu relevan ia perlu diperkaitkan dengan suasana dan zaman. Jadi fatwa perlu untuk memastikan (sebagai contoh) boleh atau tidak boleh kita menceraikan isteri melalui SMS (zaman Muhammad tiada handphone). Inilah pentingnya peranan ulama’ dan fatwa terkini.

3. Mengapa orang muslim marah apabila ulama’ dihina atau dipertikaikan? Ulama’ bukan agama…dan agama bukan ulama’.

Mungkin ia tidak sama dengan agama yang lain. Jika sama lebih baik Islam tiada. Cukup dengan ajaran yang sedia ada. Islam mengangkat ulama’ ditahap yang tinggi kerana merekalah yang meneruskan usaha dakwah Muhammad. Merekalah yang menterjemahkan dan memahamkan masyarakat akan intipati ajaran Islam. Mempersoal ajaran dan saranan paderi dan sami adalah salah dalam Islam. Umat Islam tidak dibenarkan mempertikai ajaran sami/paderi kepada penganut agama mereka. Jadi, Islam lebih-lebih lagi melarang umatnya mempertikai keputusan hukuman yang fatwa tetapkan. Jika ditanya secara ilmiyyah demi mendapat kebenaran adalah dialu-alukan. Hari ini bukan hujah ilmiyyah, malah ulama’ di Malaysia dianggap cuba mendominasikan kaum agama lain. Ini salah. Ajaran Islam hanya untuk umat Islam. Menghina ulama’ tanpa sebab yang sahih adalah seperti menghina Islam. Ini yang perlu dijelaskan kepada sahabat kita yang bukan Islam.

4. Jika fitnah atau pertikaian terhadap syariah dibuat oleh bukan Islam sahajakah baru umat Islam marah? Jika orang Islam sendiri yang mempertikai adakah nada kemarahan akan berubah?

Sesiapa sahaja tidak dibenarkan menghina agama Islam. Bertanya tentang agama Islam boleh. Meminta pandangan itu boleh. Berbahas dengan adil dan fakta juga boleh. Tetapi menghina, mengkritik tanpa moral dan fakta itu adalah salah baik dari kalangan musim atau non-muslim. Tiada istilah Islam hanya menentang golongan non muslim yang pertikai tentang Islam. Malah yang banyak menolak ajaran Islam adalah berasal dari kalangan umat Islam juga.

Hak Asasi yang diperjuang oleh Syariah Islam dan ia telah wujud sebelum deklarasi Geneva 1948.

Ramai pejuang hak asasi yang berjuang bahawa Islam menindas hak asasi. Namun laungan ini tidak akan mendapat sambutan yang diharapkan memandangkan tiada fakta dan kesan nyata bahawa Islam menindas hak asasi. Islam melarang pengkid kerana ia bukan fitrah manusia yang asasi. Ia merubah fitrah. Hakikatnya orang yang mengubah jantina tidak bahagia bukan? Islam melarang arak. Adakah arak benar-benar keperluan asasi manusia. Baik, arak haram bagi muslim, tetapi halal bagi bukan muslim. Tetapi arak membawa kesan mudarat bukan? Arak bukan hak asasi lagi kerana ia memudaratkan. Ia hanya adat dan rutin ciptaan manusia. Manusia tidak tercipta signifikan dengan arak. Alangkah bodohnya Tuhan jika Dia mencipta manusia dengan hak asasi arak sebagai keperluan fitrahnya. Allah tidak bodoh. Dijadikan manusia dengan fitrah yang baik. Maka diharamkan arak bagi manusia.

Mari lihat 5 perjuangan asasi syariah Islam:

1) Menjaga Agama

Agama sangat perlu dititikberatkan dan dipertahankan dalam kehidupan manusia sejagat. Dengan agama iaitu memurnikan sepenuh ketaatan kepada Allah s.w.t, kita manusia menjadi sebaik-baik makhluk yang mulia di sisi Allah s.w.t. Justeru itu orang Islam dilarang sama-sekali menukar agama atau murtad kerana ini bermakna engkar dan derhaka kepada Allah yang Mencipta dan sesiapa yang engkar sedemikian rupa adalah halal darahnya di sisi Allah (dihukum bunuh).

2) Menjaga Nyawa

Nyawa adalah hak dan pemberian Allah dan bukan milik kita manusia. Orang Islam dilarang keras membunuh diri sendiri apatah lagi membunuh orang lain. Membunuh diri sendiri adalah termasuk dalam dosa besar manakala membunuh orang di dalam Islam akan dikenakan hukum Qisas iaitu bunuh balas melainkan jika dimaafkan oleh waris yang kena bunuh, maka Diyat (bayaran hutang darah) perlu diberikan.

3) Menjaga Akal

Umat Islam perlu bersih akal dan mindanya dari perkara-perkara yang boleh menyebabkan terjerumus kepada kehilangan kewarasan. Hanya orang yang waras akalnya akan tunduk kepada perintah Allah dan menjauhi Larangan-Nya. Hak asasi manusia adalah WARAS. Jadi Islam melarang kita gila, mabuk atau sakit yang dicari sendiri.

4) Menjaga Keturunan

Islam sangat menitikberatkan hubungan sesama manusia untuk meneruskan kelangsungan sebagai Khalifah di muka bumi. Institusi perkahwinan adalah satu-satunya jalan yang diredhai Allah dan menerusinya manusia melahirkan zuriat-zuriat yang sah dan suci. Islam tidak mengiktiraf sebarang hubungan di luar perkahwinan untuk maksud melahirkan keturunan.

5) Menjaga Harta

Harta yang diberikan oleh Allah s.w.t juga perlu dijaga dengan baik. Memperolehinya juga perlu melalui jalan yang baik, syarak dan tidak melanggar hukum Allah. Dari harta yang baik inilah datangnya rezeki yang baik dan halal untuk keluarga, sedekah dan dikeluarkan zakat. Islam menetapkan agar orang-orang yang memperolehi harta dengan jalan jahat seperti mencuri, menyamun dan merompak hak orang lain akan dijatuhkan hukuman yang berat iaitu dipotong tangan atau kakinya.

Bukankah ia mudah untuk memahami konsep Islam? Saya akan terus menulis agar lebih ramai pembaca bukan Islam boleh mengambil manfaat. Mereka adalah matlamat dakwah.

http://munawwarah.blogdrive.com

https://skuad.wordpress.com


Tindakan

Information

Tinggalkan komen