Sanggahan keras kekufuran Golongan Anti Hadis

13 10 2008

Sanggahan Keras Kekufuran Golongan Anti Hadis

Muhammad Nuruddin Bashah

Bejat benar dunia apabila idea orientalis diterima bulat-bulat tanpa tapisan dan kajian semula. Lebih malang apabila kita langsung tidak menyelami tujuan dan falsafah kajian golongan orientalisme ini terhadap kosmo dunia dan epistemologi Islam.

Anehnya hari ini, dunia Islam serta negara-negara umat Islam boleh memberi tempat kepada perluasa ajaran-ajaran sesat. Ajaran Qadiani Ahmadiyyah, Bahai, Ajaran Din Ilahi, dan golongan anti hadis boleh berkembang pesat di negara umat Islam akibat tajaan bekas penjajah. Undang-undang hak asasi universalisme diterapkan secara halus dan secara praktikal di celahan undang-undang  dan kerangka (draf) perlembagaan yang mereka sediakan sebelum mereka meninggalkan negara anak jajahan mereka. Undang-undang inilah akhirnya membela tindakan ajaran sesat serta tindakan mempertikai hadis dan syariah di negara-negara bekas jajahan ini.

Jelasnya institusi ulama’ dan golongan ulama’ lah yang selama ini mengekalkan agama dan ‘budaya’ beragama di negara-negara bekas jajahan. Ulama’ terus-menerus berjuang mengajar, mendidik serta menyebarkan bahan tulisan kepada anak tempatan demi mengekalkan agama Islam, malah mereka juga dihadapkan kepada kezaliman dan pencabulan hak asasi mereka semata-mata tugas murni ini.

Method bahas dirayah[1] vs metod bahas riwayah[2].

Golongan anti hadis banyak berhujah akan periwayatan dan kelemahan hadis dari aspek riwayat (jalur sanad).  Akan tetapi pendakwah kini yang membela hadis kadangkala terlalu menumpu kepada membela isi hadis (dirayah)  berbanding mempertikai kritikan golongan anti hadis ini terhadap jalur periwayatan hadis. Kita seringkali berhujah begini;

· Jika tidak ada hadis dan sunnah, bagaimana anda bersolat sedangkan Al-Quran hanya menjelaskan perintah solat secara umum.

Soalan saya, benarkan golongan anti hadis ini bersolat? Benarkah mereka masih kekal ikhlas membela Islam? Ataupun mereka ini sekular malah tidak keterlaluan jika saya katakan ini golongan kafir.

Hujah kita lagi;

· Jika anda menolak hadis, bukankah anda tidak boleh memakan sotong dan ikan kerana ianya bangkai kerana tidak disembelih. Hadislah yang menjelaskan bahawa binatang di laut bukan bangkai dan ianya halal dimakan.

Hakikatnya, golongan anti hadis yang jelas menolak agama berkemungkinan besar langsung tidak kisah halal dan haram dalam makanan. Lantaran hujah ini langsung tidak mematikan langkah mereka. Mereka boleh sahaja berkata ‘ peduli apa aku bangkai tak bangkai, peduli apa aku solat macam mana pun’.

Mari kita lihat dahulu sejauh mana pengetahuan mereka berkenaan hadis dan teknik periwayatan hadis oleh para sahabat, tabiin dan ulama selepasnya. Adakah mereka benar-benar mendalami? Orientalis seperti Goldhizer dan Snouck Hurgronje  memang benar-benar mendalami hadis. Tetapi apa yang mereka paparkan? Mereka hanya memaparkan kritikan samberono dan kelemahan yang diada-adakan tanpa menghiraukan bahawa hujah mereka mudah sahaja dipatahkan.

Mereka adalah A.J Wensinck, A. Sprenger, J. Horovitiz, T.W Juynboll, Edward, E. Salisbury, O.V Hondas, L. Krehl, W.M Watt, J. Schacht, J. Robson. Manakala  Goldhizer pula telah  cuba membuat perbandingan di antara pengajian hadith serta kesusateraannya dengan kesusasteraan yahudi dan kristian. Antara buku yang berkaitan dengan karyanya ialah Muhammedanische Studien. Dengan membawa keraguan antaranya:

  1. Hadith dan kesusasteraannya diragui pada abad pertama Hijrah. Hal tersebut kerana pada masa itu tidak ramai orang Islam yang pandai menulis dan membaca serta tidak didapati kitab hadith yang dikumpul dalam bentuk tulisan.
  2. Hadith merupakan suatu yang diada-adakan dan bukan suatu yang asli daripada idea Nabi Muhammad. Justeru hadith merupakan hasil perkembangan semasa juga merupakan idea-idea yang direka oleh umat Islam.
  3. Bahkan Goldziher cuba memesongkan fahaman dan pegangan umat Islam tentang hadith mengatakan bahawa sebenarnya hadith itu tidak wujud, ia adalah rekaan dan ciptaan NAbi Muhammad berasaskan nafsunya sendiri.[3]

Jika golongan anti hadis menolak hadis hanya disebabkan oleh riwayatnya yang terputus dan mungkin sengaja diada-adakan, adakah mereka benar-benar tahu tentang perbezaan hadis mursal, hasil mu’qati’ dan sebagainya? Juga adakah mereka memahami bahawa kelemahan sesebuah hadis kadangkala dikuatkan oleh hadis yang lebih sahih malah kadangkala ia diterima jika ia pendapat yang masyur.

Mereka sengaja melaga-lagakan pegangan umat Islam dengan sengaja taksub terhadap Al-Quran dan sengaja meremeh-remehkan sunnah Rasulullah. Adakah mereka ikhlas dengan Al-Quran? Ironinya mereka langsung tidak memartabatkan Al-Quran. Sebagaimana British sengaja memprojek membina Qadiani, Bahai dan sengaja menimbulkan separatis dan istilah wahabisme (agar kita terus dipolitikkan), begitu juga golongan anak didik sekular ini yang sengaja menyokong Al-Quran dan menidakkan Hadis Rasulullah SAW.

Mereka lupa bahawa periwayatan dan pewarisan Al-Quran kepada kita hari ini juga dilakukan oleh para sahabat dan tabiin yang sama seperti yang meriwayatkan Hadis. Golongan orientalisme bermatian berhujah bahawa hadis langsung tidak dicatat pada zaman Nabi sebaliknya hanya Al-Quran, lantaran itu autoriti dan autentik hadis boleh dipersoal. Salah kita juga kerana tidak menceritakan bahawa terdapat ramai sahabat yang pandai dan mencatat hadith. Antara mereka ialah Abu Umamah, Abu Ayub al Ansari, Abu Bakar as Siddiq, Abu Sa’id al Khudri, Anas bin Abd Malik, al Barra’ Ibn ‘Azib. Jabir Ibn Samurah, Mu’az bin Jabal, Umar al Khattab, Mu’awiyyah bin Abu Sufyan dan Abdullah bin al Zubir pernah dibenarkan untuk menulis hadis, sementara sahabat yang lain tidak dibenarkan kerana dikhuatiri akan mencampur adukkan hadis dengan Al-Quran[4].

Disebabkan hadis tidak ramai sahabat yang menulisnya seperti Al-Quran, maka disiplin ilmu riwayat Hadis menjadi subjek yang penting sejak dahulu hingga kini dan setiap ulama’ hadis yang terpercaya memiliki piawaian hadis yang tersendiri dan ketat[5].

Mereka gemar mengambil jalan mudah dengan menolak bulat-bulat hadis apabila ianya dikatakan  terlalu banyak versi riwayat. Sepertimana pendapat Dr Yusuf Al ‘Ish yang menolak adanya perlembagaan dan perjanjian Madinah hanya disebabkan isi kandungan perlembagaan dkumpulkan secara terpecah-pecah dan bukannya sekaligus. Hadis yang mengumpul perlembagaan Madinah juga ada yang lemah[6]. Adakah kita begitu mudah boleh menolak adanya perlembagaan Madinah yang mana ia merupakan perlembagaan bertulis yang pertama lengkap di dunia peradaban manusia.

Perlu diingatkan juga golongan Muktazilah bukanlah secara mutlak sama seperti golongan anti hadis hari ini yang begitu sekali  memusuhi Hadis. Mereka (Muktazilah)  hanya menolak hadis yang tidak cocok dengan pegangan aqliyyah mereka. Malah Ibnu Qutaibah yang mentakwil ikhtilaf hadis bukannya menolak hadis seperti yang digembar gembur oleh puak anti hadis sekular hari ini.

Jika begitu, mengapa para cerdik pandai anti hadis ini tidak bersusah payah menulis dan bersyarah akan kepalsuan Bible yang jauh lebih banyak percanggahan, keraguan periwayatan (tiada sanad yang tercatat) malah ditulis sendiri oleh manusia yang langsung tidak berjumpa dengan Nabi Isa A.S. Mengapa tidak diusahakan begitu? Inilah sebenarnya topeng gerakan anti hadis yang sebenarnya bukan sikap dan tindakan ‘golongan Islam’.

Isnin , 13 Oktober 2008


[1] “Ilmu dirayah Al-Hadith itu ialah satu ilmu yang membincangkan tentang erti yang difahami daripada lafadz-lafadz hadith.  Begitu juga maksud-maksudnya berdasarkan kaedah-kaedah bahasa Arab dan peraturan-peraturan syariat di samping bersesuaian pula dengan keadaan Nabi (saw)”.

(Nawab Siddiq Hassan Khan-Abjadu Al Uloom; jilid 2 ms 220)

[2] Al Auzaa’i pula berkata, “Ilmu tidak akan hilang melainkan dengan hilangnya sistem isnad (riwayat),”

(Muqaddimah At Tamheed –jilid 1 muka surat 15)

[3] http://tajdidsebenar.blogspot.com/2008/02/siapa-di-sebalik-anti-hadith.html

[4] Di masa para sahabat telah wujud Sahifah atau lembaran yang mengandungi hadith Nabi antaranya Sahifah Sa’ad bin Ibn Ubadah al Ansari, Sahifah Samurah Ibn Jundab, Sahifah Jabir Ibn Abdullah, Sahifah Ibn Abbas dan Sahifah Abu Hurairah dan ia diakui oleh sesetengah orientalis seperti Sprenger dan ini jelas menunjukkan dakwaan I Goldziher tidak berasas.

[5] Rasulullah Saw. mengizinkan sahabat Abdullah bin Amr bin Ash menulis hadis, akan tetapi beberapa orang Quraisy melarangnya seraya berkata: Wahai Abdullah! Nabi adalah manusia, ia berbicara dalam keadaan redha dan marah, maka janganlah kau tulis dari (perkataan) Rasulullah kecuali ketika dalam kedaan redha. Abdullah bin Amr pun menghentikan penulisannya kemudian  mengadukan hal ini dan menanyakan kepada Rasulullah Saw. Nabi menjawab: “Tulislah!, demi Allah tidak ada apapun yang keluar dari diriku kecuali yang benar.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Imam Hakim juga meriwayatkan tentang hadis ini dengan bahasa yang berbeza tetapi maknanya sama, keduanya hadis shahih, sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Adz-Dzahaby.

[6] Beliau berkata ” Ia tidak disebut dalam kitab fiqh dan hadis yang sahih”. Beliau tidak menerima adanya perlembagaan Madinah kerana hanya diketahui riwayat itu hanya melalui Ibnu Ishaq yang meriwayat tanpa sanad (atau sanadnya senagaja dibuang untuk meringkaskan kitab Al-Maghazinya). Lihat Akram Diya’ Al Umari dalam Madinan Society At The Time Of The Prophet.


Tindakan

Information

4 responses

13 10 2008
msmz

Quote: “Disebabkan hadis tidak ramai sahabat yang menulisnya seperti Al-Quran, maka disiplin ilmu riwayat Hadis menjadi subjek yang penting sejak dahulu hingga kini dan setiap ulama’ hadis yang terpercaya memiliki piawaian hadis yang tersendiri dan ketat”

Disiplin ini termasuklah qawa’id mastalah hadith (Penarafan hadith) dan “ilmu al-jarhi wa ta’dil” (analisa periwayat-RadhiAllahu ‘anhum) (1) yang direkod dengan sangat sistematik. Bahkan beribu-ribu periwayat hadith juga mempunyai biografinya yang tersendiri (Rujuk Kitab Tahzib ut tahzib). Bagaikan meludah ke langit, ilmu ini juga cuba diciplak dalam kebanyakan format-format “rujukan” bagi disertasi pengajian ilmiah pada hari ini tapi sesungguhnya ia masih lagi terlalu jauh menyamainya atau TERLALU BERBEZA SAMA SEKALI.

Premis 1: Al-Quran rujukan bagi Muslimin
Premis 2: As-Sunnah rujukan bagi Muslimin
Kesimpulan1: Al-Quran dan As Sunnah rujukan bagi Muslimin
Kesimpulan2: Sesiapa yang tak mahu rujuk Al-Quran dan As Sunnah? Jawapannya?

(1) Dr Muhammad Said Ramadhan al Buty, (2003) Fiqh Sirah ma’a maujiz litarikh al-Khilafah ar-rasyidah. Darul Fikir, Damsyiq.

Mohd Shafiq Mohd Zakaria

23 11 2008
Anak Watan

[quote] Hujah kita lagi;

· Jika anda menolak hadis, bukankah anda tidak boleh memakan sotong dan ikan kerana ianya bangkai kerana tidak disembelih. Hadislah yang menjelaskan bahawa binatang di laut bukan bangkai dan ianya halal dimakan.[/quote]

Salaamun Alaikum.

Nampak sangat anda tidak percaya Al Quran lengkap dan sempurna untuk dijadiakan panduan bersyariat. Bacalah Al Quran tanpa memblok minda anda, anda akan temui jawapan bagi masalah anda ini.

23 11 2008
Anak Watan

[quote]Soalan saya, benarkan golongan anti hadis ini bersolat? Benarkah mereka masih kekal ikhlas membela Islam? Ataupun mereka ini sekular malah tidak keterlaluan jika saya katakan ini golongan kafir.[/quote]

Nampaknya anda takut dengan bayang2 sendiri…. anda bukan tuhan untuk menentuhkan orang lain kafir… takutlah tuduhan itu akan berbalik semula kepada anda…

23 11 2008
Anak Watan

[quote] Jika tidak ada hadis dan sunnah, bagaimana anda bersolat sedangkan Al-Quran hanya menjelaskan perintah solat secara umum.[/quote]

Salaam,

Ini antara cakap-cakap mereka yang tidak mempercayai Al Quran lengkap…. betulkah tidak boleh mengerjakan sholat hanya berpandukan Al Quran… bacalah kalam Allah itu, anda akan menemukan jawapannya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: