5 Ancaman Aqidah Melayu Islam

29 07 2008

 

Aqidah membawa erti pegangan atau kepercayaan. Secara umumnya, kepercayaan ini terbahagi pula kepada dua bahagian iaitu aqidah yang benar dan aqidah yang salah. Segala bentuk perbuatan yang dilakukan dengan aqidah yang benar akan menjadi ibadah dan diterima Allah s.w.t. sedangkan amalan dengan aqidah yang salah bakal mengundang keburukan dan kecelakaan. Justeru itu, perkara berkaitan dengan aqidah tidak boleh dianggap suatu persoalan main-main atau boleh dipandang remeh sahaja. Antara ancaman-ancaman aqidah Melayu Islam yang berlegar di Malaysia sekarang ialah :

 

     1.   ajaran meragukan 

Penyelewengan terhadap aqidah Islam bukan sekadar berlaku dalam ajaran yang merangkumi amalan agama Islam sahaja tetapi turut melibatkan ilmu seperti perdukunan Melayu, adat-adat Melayu, amalan persilatan, perayaan tradisi, sesetengah budaya/kesenian Melayu dan amalan hidup seharian. Ajaran Ayah Pin dengan Kerajaan Langitnya dan Haji Kahar Ahmad yang mengangkat dirinya sebagai Rasul di kalangan orang Melayu adalah beberapa contoh kesesatan yang nyata dapat dilihat kepincangan aqidahnya. Terlalu taksub pada pemimpin sesuatu ajaran seperti yang berlaku di dalam Al-Arqam juga boleh mencemarkan kesucian Islam dan mengubah prinsip-prinsip asas dalam aqidah Islam. Berapa ramai pula yang memuja tempat yang dianggap keramat atau percaya dengan ilmu kebal, sihir dan ilmu hitam yang lain? Semua bentuk ajaran ini boleh menjerumuskan pengamalnya kepada kesesatan.

 

     2.   masyarakat tak bertuhan

 

Manusia secara fitrahnya mempunyai rasa ingin bertuhan. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir golongan yang mengaku bertuhan tetapi pada masa yang sama pegangan atau pembawaan mereka mencerminkan kehidupan yang seolah-olah tidak bertuhan. Misalnya, seorang yang berilmu atau mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu tidak menggunakan kelebihan yang mereka ada untuk kebaikan masyarakat sekeliling. Alasan yang diberi ialah tiada keuntungan yang mereka perolehi jika berbuat demikian. Amatlah sempit pemikiran sebegini, melihat hanya pada keuntungan dunia yang bersifat jangka pendek! Manusia yang bertuhan tidak akan putus asa untuk ‘memberi; kerana yakin sekecil manapun usaha yang dilakukan pasti dinilai oleh Yang Maha Adil. Manusia yang tidak percaya akan tuhan atau bersikap tak bertuhan akan mula hilang sikap kepedulian sosial dan cakna kepada kesusahan orang lain kerana berfikiran ianya tidak membawa keuntungan (profit). Akibatnya manusia yang pentingkan diri sendiri (individualism) serta fanatik dengan diri akan wujud malah lebih teruk lagi ia membawa kepada pertumbuhan sikap rasis yang melampau! Ia juga memecah perpaduan antara rakyat serta mengakibatkan rakyat merasa tidak selesa dengan undang-undang Islam seperti yang berlaku hari ini apabila ada yang mula mempertikai mahkamah syariah.

Bandingkan pula jenayah yang berlaku pada zaman dahulu berbanding zaman sekarang. Penjenayah ‘3 in 1’ berleluasa! Dahulu seorang penjenayah dihukum kerana satu kesalahan (misalnya menculik) yang mereka lakukan Kini, seorang penjenayah dihukum kerana 3 kesalahan (misalnya kes menculik, merogol, membunuh). Manusia semakin zalim akibat tidak mengenal Tuhan dan agama mereka sendiri!

 

     3.   islam liberal

 

Golongan Islam Liberal membawa fahaman hanya akal(rasionalisme) yang perlu digunakan dalam memahami agama mengikut keadaan zaman yang berlaku sekarang. Bagi mereka,  tafsiran yang dibuat oleh ulama-ulama masa kini dan masa silam tidak boleh digunakan dalam memahami isi kandungan al-Quran mahupun hadis dan semua tafsiran tersebut ditolak mentah-mentah. Antara NGO yang kuat menyokong liberalisme di Malaysia ialah Sisters In Islam(SIS) dan Bar Council (Majlis Peguam Malaysia). SIS misalnya secara terang-terangan menyebarkan pemikiran feminisme yang turut sama dikaitkan dengan undang-undang keluarga Islam yang dianggap tidak adil dan pro kepada satu jantina sahaja. Selain penggunaan akal yang rasional, pengikut Islam Liberal juga amat mementingkan konsep hak asasi manusia yang sebenarnya diasaskan oleh Barat. Antara kebebasan yang dituntut ialah kebebasan dalam beragama, kebebasan menyuarakan pendapat, kebebasan individu dan sebagainya. Perlu diingatkan di sini bahawa kebebasan yang dituntut oleh golongan ini adalah tanpa adanya batas-batas agama ataupun hanya berdasarkan pemahaman agama yang sempit menggunakan logik akal.

 

     4.   pluralisme agama

 

Islam Liberal turut membawa bersama kefahaman baru dalam agama iaitu pluralisme agama. Fahaman ini memandang semua agama pada dasarnya sama dan tidak ada satu pun agama yang berhak menyatakan agamanya adalah satu-satunya agama yang benar. Apabila fahaman pluralisme mula meresap dalam ruang rongga masyarakat Islam, Islam tidak lagi dirasakan berbeza dari agama yang lain dan lanjutan dari fahaman ini, terjadinya syirik kerana menyamakan Allah s.w.t. dengan Tuhan agama-agama lain. Di Indonesia, telah wujud sebuah organisasi yang misi utamanya adalah menumbuhkan fahaman pluralisme dalam masyarakat Indonesia. Organisasi yang dinamakan ICRP(Indonesian Conference on Religion and Peace) ini telah dirasmikan pada 2000 oleh Presiden Indonesia ketika itu, Abdurrahman Wahid dan ahlinya terdiri daripada wakil-wakil agama seperti Islam, Kristian, Hindu, Buddha, Sikh, Khonghucu, Baha’I dan Kepercayaan Sunda. Di Malaysia, cadangan mewujudkan Suruhanjaya Antara Agama atau Inter-faith Council (IFC) yang sama seperti ICRP telah disuarakan oleh sebuah badan bukan Islam  iaitu Majlis Kristian Budha Hindu dan Sikh Malaysia (MCCBCHS). Antara tujuan IFC ditubuhkan adalah untuk menjadi sebuah suruhanjaya yang berkuasa penuh menerima dan melayan segala jenis aduan berkaitan agama dari segenap lapisan rakyat Malaysia tanpa mengira agama yang dianuti serta mengubah ajaran mana-mana agama (terutama sekali agama Islam) apabila terdapat desakan daripada penganut agama-agama lain. Sebagai Muslim, kita patut sedar bahawa IFC hanya akan membahayakan masa depan Islam dan umatnya dan sokongan terhadap IFC adalah tidak perlu sama sekali.

 

     5.   bertuhankan dunia

 

Fahaman-fahaman seperti hedonisme dan materialisme yang menjadikan keseronokan dan kebendaan  sebagai matlamat hidup kian menyuntik barah dalam kalangan umat Melayu Islam kini. Longgokan sumber-sumber hiburan yang mudah diperoleh dengan kegagalan media untuk menjadi medium untuk menyampaikan keadilan, kemanusiaan serta keimanan kepada masyarakat tambah memburukkan lagi keadaan. Lihat sahaja kajian Mastika ke atas jumlah penonton yang menghadiri Akademi al-Quran berbanding Konsert Gang-Starz LG. Golongan Melayu Islam yang muda rata-ratanya memilih untuk menghayati keseronokan yang bersifat sementara daripada menghayati ayat-ayat cinta dari Allah s.w.t. yang kekal selamanya. Ideologi materialisme pula telah menghancurkan nilai-nilai rohani/spiritual serta menjauhkan manusia daripada pegangan agama. Sebilangan besar golongan ini tetap mengakui kewujudan Tuhan tetapi fahaman materialisme mereka menyebabkan keutamaan mereka beralih kepada alam kebendaan.

 

 

Islam tidak lagi dilihat secara menyeluruh kerana bidang keagamaan dan ketuhanan dipisahkan dari bidang kehidupan yang lain. Selain sistem pendidikan sekolah yang bersifat sekular dan didikan keluarga yang kurang lengkap dari aspek keagamaan, keadaaan persekitaran juga telah mencorak sedikit demi sedikit pemikiran Melayu Islam kini. Secara tidak langsung, pengamalan kepercayaan aqidah tidak dihayati dan diamalkan sepenuhnya dalam kehidupan. Bagi mendepani masalah aqidah Melayu Islam ini, beberapa tindakan susulan perlu dilakukan. Antaranya ialah menyebarkanluaskan pengetahuan berkenaan punca dan kesan akibat kerosakan aqidah, peka dengan isu-isu terkini umat Islam terutamanya bila melibatkan hal aqidah Islam serta bertindak/riflek secara serius terhadap permasalahan tersebut. Pesanan buat diri sendiri dan umat Islam seluruhnya, bangunlah dari tidur, buka mata dan lihat dengan mata hati keadaan masyarakat di sekeliling anda. Rasakan keruntuhan aqidah yang semakin memberat dalam masyarakat Melayu Islam kini dan bertindaklah!

 

 

Wardah bt Abdul Rahman

Unit Media SPAQ

 


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: