Nakba, Kerpan dan Berembang

17 05 2008

Hari ini digelar Hari Nakba. Mungkin ramai di antara kita yang lebih mengingati 14 Februari, 31 Ogos, 13 Mei, 16 Mei, 25 Disember dan tarikh hari lahir insan teristimewa dalam hidup kita daripada tarikh 15 Mei; tarikh yang amat menyedihkan buat rakyat Palestin dan seluruh umat Islam di dunia.

Hari ini genap ulang tahun ke-60 peristiwa Nakba pada 15 Mei 1948 yang menyaksikan ratusan ribu penduduk Palestin diusir dari tanah air mereka sendiri. Kekejaman askar rejim Zionis yang melakukan lebih 50 pembunuhan beramai-ramai demi mencapai satu matlamat yang dirancang oleh mereka sejak sekian lama – mewujudkan negara Israel pada 1949.

Selama 50 tahun penantian rejim Zionis selepas Persidangan Basle pada tahun 1897, mereka berjaya menubuhkan negara Israel secara rasmi yang dipimpin oleh Herzl – Bapa Zionisme.

Masyarakat antarabangsa lebih memberi tumpuan dan simpati terhadap Israel apabila peristiwa Holocaust dibincangkan. Malah sesiapa yang mempersoalkan kejadian Holocaust akan dilabel sebagai anti-sematik. Dikatakan seramai enam juta kaum Yahudi dibunuh oleh Nazi Jerman pada Perang Dunia Kedua dalam peristiwa ini; peristiwa ini masih keramat sehingga dijadikan sandaran untuk menubuhkan negara Israel secara rasmi, walaupun `terpaksa’ membunuh rakyat Palestin.

Pengusiran dan pembunuhan warga Palestin secara besar-besaran seolah-olah `dihalalkan’ masyarakat antarabangsa bagi membolehkan kerajaan Israel membentuk negaranya di bumi Palestin. Hakikatnya, negara Israel terbentuk atas darah dan kesengsaraan penduduk Palestin. `Hutang budi’ penduduk Palestin selama ini dibalas Israel dengan kekejaman yang tiada noktahnya.

Lebih 500 perkampungan dan pekan Palestin dimusnah dan diduduki secara haram oleh orang Yahudi dan diberi nama baru. Kumpulan pertama 726,000 pelarian Palestin disusuli pula lebih 200,000 lain yang terpaksa meninggalkan kediaman di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza pada 1967 selepas Israel menyerang Jordan dan Mesir dengan menakluk kawasan itu serta Baitul Maqdis Timur. Akibatnya, lebih empat juta pelarian Palestin hidup merana dan merempat bertaburan di seluruh dunia – dari Mesir, Jordan, Syria, Eropah dan Amerika Syarikat.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-60 pada 1 November 2005 telah meluluskan resolusi yang mengisytiharkan 27 Januari sebagai Hari Peringatan Holocaust. Namun, Hari Nakba langsung tidak diberi tempat sebagai memperingati kezaliman dan kekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin yang dilayan seperti binatang. Maka ramai yang kurang tahu dan memahami Nakba berbanding Holocaust. Mudahkan Zionis meracuni pemikiran masyarakat dunia? Khususnya umat Islam.

Peristiwa ini sangat sinonim dengan beberapa kes-kes pengusiran masyarakat setempat terutama setinggan oleh golongan kapitalis di Malaysia. Atas nama pembangunan, orang-orang kampung `terpaksa’ dihalau untuk membina satu bentuk kemodenan yang bakal dinikmati golongan yang mampu sahaja.

Kebanyakan kes-kes ini tidak disiarkan di dalam akhbar atas sebab kepentingan media itu sendiri. Apabila media dipolitikkan, dijadikan `dadah’ kepada pemikiran masyarakat, alat memonopoli keuntungan syarikat-syarikat tertentu, seiras dengan tingkah laku rejim Zionis sebelum tercetusnya peristiwa Nakba.

Peristiwa Kerpan, Berembang, Tanjung Tokong, kes-kes pengusiran setinggan di Kuala Lumpur, adalah contoh-contoh sifat kekejaman sesetengah pihak berkuasa yang bersekongkol dengan syarikat-syarikat tertentu terhadap penduduk tempatan kononnya atas nama pembangunan. Persoalannnya, pembangunan itu untuk siapa? Kalau untuk rakyat, kenapa `dibayar’ dengan pengusiran dan ugutan halau dari tanah tumpah darah mereka sendiri?

Nakba sudah lama wujud di Malaysia, namun jarang diberi perhatian oleh masyarakat. Hasutan dan pengaruh media terhadap keseronokan hiburan memberikan kita satu suasana yang sangat tenang dan tenteram sehingga keadaan jiran sebelah rumah pun langsung tidak kita peduli. 60 tahun sudah penduduk Palestin dihalau dan dibunuh, kita masih lagi seperti Mat Jenin setelah 50 tahun merdeka.

Bangunlah sahabatku!

Koordinator 2 SPAQ: `Izzat Anwari bin Hasni

http://darahmerdeka.wordpress.com


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: