Muhammad; Penerus risalah Anbiya’ terdahulu

22 04 2008

Pada 9.15 malam, 20 April 2008 yang lepas, SPAQ telah menghadiri satu ceramah yang disampaikan oleh Dr. Azizan Sabjan, pensyarah dari Pusar Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM. Dewan Kuliah A ini hampir dipenuhi oleh peserta yang terdiri daripada pensyarah, pelajar dan juga wakil-wakil dari badan bukan kerajaan. ‘Misconception of the revealed religion and Muhammad s.a.w. in world scriptures’ adalah tajuk ceramah yang disampaikan dan secara keseluruhannya, SPAQ merasakan tajuk ini dipilih untuk menjawab sedikit-sebanyak persoalan berkenaan isu karikatur Nabi Muhammad s.a.w. serta penghinaan ke atas Al-Quran yang telah dihasilkan oleh Greet Wilders baru-baru ini. Berikut merupakan isi kandungan ceramah tersebut.

‘Revealed religion’ ataupun agama wahyu merupakan istilah yang sering disalahertikan maksudnya. Secara umumnya, agama wahyu seperti yang diterangkan kepada pelajar sekolah adalah agama-agama berikut :

i) agama Yahudi yang disampaikan oleh Nabi Musa a.s.

ii) agama Nasrani yang disampaikan oleh Nabi Isa a.s. dan

iii) agama Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Agama Yahudi dianggap sebagai agama wahyu yang tertua manakala agama Islam adalah agama wahyu yang termuda. Gabungan ketiga-tiga agama ini pula dikenali dengan istilah ‘3 Abrahamic faith’ ataupun ‘tiga kepercayaan Ibrahim’. Persoalan yang dikemukakan oleh Dr. Azizan ialah, adakah benar ataupun tepat maksud yang diberikan kepada istilah agama wahyu ini?

Jika ditelusuri dengan lebih teliti, ketiga-tiga ajaran ini mengandungi syariat yang berbeza tetapi membawa mesej yang sama iaitu menyembah Tuhan yang Esa (Tunggal). Allah adalah nama bagi Tuhan yang bersifat Esa ini. Dalam Al-Quran, tiada bukti yang mengatakan Nabi Musa a.s. diturunkan dengan agama Yahudi dan Nabi Isa a.s. diturunkan dengan agama Nasrani. Sebaliknya, Nabi Musa a.s. dan Nabi Isa a.s. sebenarnya diutus kepada kaum yang sama iaitu kaum Yahudi sahaja tetapi pada tempoh masa yang berbeza. Nabi Musa a.s. terlebih dahulu diutuskan dengan membawa kitab Taurat manakala Nabi Isa a.s. diturunkan dengan kitab Injil selepasnya. Buktinya,

“Dan (sebagai) Rasul kepada Bani Israil (yang Berkata kepada mereka): “Sesungguhnya Aku Telah datang kepadamu dengan membawa sesuatu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu, yaitu Aku membuat untuk kamu dari tanah berbentuk burung; Kemudian Aku meniupnya, Maka ia menjadi seekor burung dengan seizin Allah; dan Aku menyembuhkan orang yang buta sejak dari lahirnya dan orang yang berpenyakit sopak; dan Aku menghidupkan orang mati dengan seizin Allah; dan Aku kabarkan kepadamu apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumahmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah suatu tanda (kebenaran kerasulanku) bagimu, jika kamu sungguh-sungguh beriman. Dan (aku datang kepadamu) membenarkan Taurat yang datang sebelumku, dan untuk menghalalkan bagimu sebagian yang Telah diharamkan untukmu, dan Aku datang kepadamu dengan membawa suatu tanda (mukjizat) daripada Tuhanmu. Karena itu bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.” Ali-Imran : 49-50

Istilah Yahudi dan Nasrani merujuk kepada kaum dan bukannya agama kerana yang sebenar-benarnya, agama yang dianuti mereka adalah Islam. Mengapa istilah ‘Islam’ tidak digunakan sejak dahulu lagi? Islam berasal dari perkataan ‘salaam’ yang bermaksud aman dan tenteram. Islam juga bermaksud menyerah diri kepada Allah s.w.t. Bukankah ajaran yang di bawa oleh Nabi Musa dan Nabi Isa adalah ajaran Tauhid yang mengajar kaum mereka mengesakan Tuhan(Allah s.w.t.)? Buktinya, elemen-elemen Tauhid (5 Rukun Islam) boleh didapati di dalam kitab ajaran mereka yang menjadi pegangan kaum Kristian sekarang ini iaitu Bible. Walaupun wujud elemen Tauhid seperti monotheisma, salaah, zakaah, saum(puasa) dan haji, Bible tidak boleh dianggap sebagai kitab agama wahyu kerana kandungannya telah diubahsuai.

Firman Allah s.w.t. yang membuktikan bahawa Nabi Isa a.s. telah diturunkan agama hanif/Islam dan Islam adalah agama yang diredhai ;

“Sesungguhnya (agama Tauhid) Ini adalah agama kamu semua; agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, Maka sembahlah Aku. Dan mereka Telah memotong-motong urusan (agama) mereka di antara mereka. kepada kamilah masing-masing golongan itu akan kembali.” Al-Anbiyaa : 92-93

“….pada hari ini orang-orang kafir Telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. pada hari Ini Telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan Telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan Telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu…” Al-Maidah : 3

Dr. Azizan juga mengingatkan para hadirin tentang perbezaan antara Isa dan Jesus serta Nasrani dan Kristian. Sebagai seorang Muslim. Kita seharusnya sedar bahawa Jesus yang dimaksudkan oleh kaum Kristian adalah tidak sama dengan Nabi Isa a.s. Kepercayaan mereka yang mengatakan Jesus anak Tuhan dan mati disalib untuk menghapuskan dosa manusia adalah tidak sama dengan Nabi Isa mengikut kepercayaan umat Islam. Kaum Nasrani pula adalah pengikut kitab Injil yang asal berbanding kaum Kristian yang sebenarnya telah diasaskan oleh seorang Yahudi bergelar St Paul. Maurice Bucaille pernah menulis dalam bukunya yang terkenal iaitu ‘The Bible, the Quran and Science’ tentang sejarah ketibaan St Paul dalam dunia Kristianiti. St Paul dikatakan tidak pernah berjumpa dengan Nabi Isa a.s. secara langsung tetapi berjaya mencipta pengaruh yang cukup besar dalam kalangan kaum Kristian.

Seterusnya, Dr. Azizan menjelaskan tentang ‘people of the book’ ataupun Ahl al-Kitab. Seperti yang diterangkan sebelum ini, Yahudi (Judaism) bukanlah agama wahyu sebaliknya ia adalah agama budaya dan penganutnya tidak boleh dianggap sebagai ahli kitab yang sebenarnya.

Sesi soal-jawab :

Koordinator 1 SPAQ, Saudara Muhammad Nuruddin sempat bertanyakan pandangan penceramah berkenaan jemputan semua wakil agama di Malaysia untuk berdoa beramai-ramai di kuil Buddha Maha Virana. Acara tersebut adalah bagi memohon keamanan di Tibet, kejayaan membawa obor Olimpik ke Malaysia dan bagi memohon kejayaan Sukan Olimpik yang diadakan di Beijing. Soalan yang ditanyakan adalah sama ada perbuatan berdoa bersama-sama agama lain melanggar aqidah seorang Muslim. Tegas Dr. Azizan, konsep menghormati dan mengiktiraf agama lain adalah perkara yang berbeza. Umat Islam disuruh menghormati agama lain selain agama Islam tetapi bukan mengiktiraf agama tersebut. Perbuatan mencela agama lain adalah dilarang sepertimana firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Kafirun.

Soalan kedua yang dikemukakan ialah berkenaan cadangan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mewujudkan Majlis Silaturahim Antara Agama (IRGC) bagi tujuan meningkatkan kerjasama, perhubungan serta persefahaman di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini. IRGC yang akan ditubuhkan menimbulkan kerisauan kerana hal ini dilihat menyerupai penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang mendapat bantahan daripada pelbagai pihak sebelum ini. Saudara Mohd. Nizam, wakil dari Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang (PUMPP) menjawab persoalan tersebut dengan menyatakan IRGC akan dianggotai oleh pakar bagi setiap agama dan perbincangan tidak akan melibatkan isu undang-undang sebaliknya hanya dialog umum yang bakal membincangkan keadilan antara agama. Tambahnya lagi, Yang Dipertua PUMPP, Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor sudah memberi pandangan yang meminta kerajaan negeri supaya berhati-hati dengan cadangan penubuhan IRGC bagi mengelakkan kontroversi yang mungkin timbul.

Secara keseluruhannya, SPAQ mengharapkan ceramah sebegini akan diteruskan lagi bagi memberi kefahaman kepada golongan masyarakat kampus khasnya berkenaan isu terkini yang melanda umat Islam.

Unit Media Skuad Penyelamat Aqidah: Wardah Abdul Rahman


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: