Menjawab salah faham berkenaan 4 ayat yang digunakan dalam filem Fitna

7 04 2008

Muhammad Nuruddin bin Bashah

Bc Engineering UM

Koordinator 1 SPAQ

Umum akan bereaksi marah terhadap huraian songsang yang jelas bersifat provokasi dan prejudis terhadap maksud ayat-ayat al-Quran yang digunakan oleh pihak penerbit filem Fitna baru-baru ini. Namun begitu tidak ramai yang mengutarakan hakikat salah tafsir produser Fitna dalam membawa konotasi ayat-ayat tertentu yang telah mereka jadikan hujah.

 

1) Ayat berkenaan persiapan perang

Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu mampu dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).”

[QS al-Anfal 8:60]

 

Kemampuan yang disebutkan disini dinyatakan oleh nabi sebagai pasukan pemanah yang gagah serta disertai oleh pasukan berkuda. Pada hari ini ia adalah satu saranan agar umat Islam memiliki pertahanan yang canggih dan kompetetif. Memiliki kekuatan pertahanan di sini bermaksud oleh ‘kerajaan Islam’ yang sah dan bukannya oleh individu tertentu. Rasulullah hanya berperang selepas berkuasa penuh di Madinah, memiliki kedaulatan tersendiri, barulah baginda membuat baiatul harb (perjanjian jihad dan perang). Sifat proaktif dan pre-emtif dalam membuat persediaan dalam perang adalah lumrah mana-mana manusia dan kerajaan. Kenapa Islam sahaja yang dicemuh? Kenapa deklarasi perang USA terhadap dunia Islam, polisi penghapusan etnik Uygur di China oleh Mao Tze Tung, penghapusan etnik Palestin (dalam protokol Zionis yang jelas) dan Bosnia oleh Serbia, tidak dikatakan berbaur ganas dan kejam? Bukankah kenyataan pemimpin zalim berkenaan lebih absah dengan klip video, minit mesyuarat, blue-print, media statement dan sebagainya berbanding Islam hanya hanya bersumberkan al-Quran yang beribu tahun lampau. Bukankah al-Quran juga tidak mereka percayai? Hairan.

 

2) Ayat berkenaan siksa terhadap orang kafir

Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat kami, kelak akan kami masukkan mereka ke dalam neraka. setiap kali kulit mereka hangus, kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

[QS an-Nisa’ 4:56]

 

Ayat di atas lebih merupakan ancaman Allah iaitu Tuhan orang muslim kepada orang yang engkar dengan perintahNya. Bukankah urusan menceritakan perihal siksa menyiksa di akhirat adalah ‘hak asasi beragama’. Bukankah dalam agama lain juga mereka beranggapan kami orang muslim ini ‘kafir’ menurut agama mereka? Dan kami layak diseksa Tuhan mereka? Itu hak mereka, dan Islam tidak nafikan hak mereka beranggapan begitu kerana itu hak mereka beragama. Jadi dalam hal ini, mereka tidak boleh membawa konotasi bahawa Islam itu agama zalim!

 

Dalam ayat ini sebenarnya adalah rentetan beberapa ayat sebelumnya yang menceritakan hipokrasi Kaab Bin Asyraf seorang pemuka Yahudi yang berjumpa Abu Sufyan. Apabila ditanya siapakah yang lebih baik, antara Muhammad yang menyembah Tuhan yang satu dengan mereka yang menyembah berhala turun temurun? Jawab Kaab Bin Asyraf “ kalian yang benar”. Sedangkan sebelum kehadiran Rasulullah, orang Yahudi semuanya menyindir kesesatan orang Arab yang paganisme dan animisme dalam beragama. Mereka begitu yakin dengan monoteisme. Akan tetapi disebabkan hipokrit dan bencikan Muhammad atas dasar dengki, mereka sanggup menjual agama yang setauhid itu. Jadi ayat diatas menceritakan penyiksaan yang bakal dihadapi oleh para hipokrasi yang hanya mengangguk dan mengiyakan kerosakan, kezaliman dan kesesatan dalam sesebuah negara. Prof Hamka memberi contoh ayat ini kepada ulama’ yang menyokong NASAKOM. Di sini lebih erat untuk kita ertikan kepada ulama’ yang menyokong ajaran sesat Islam Hadhari.

 

3) Motivasi jihad dari Allah

“Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir (di medan perang) Maka pancunglah batang leher mereka. sehingga apabila kamu Telah mengalahkan mereka Maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sampai perang berakhir. Demikianlah apabila Allah menghendaki niscaya Allah akan membinasakan mereka tetapi Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain. dan orang-orang yang syahid pada jalan Allah, Allah tidak akan menyia-nyiakan amal mereka.”

[QS Muhammad 47:4]

 

Diriwayatkan daripada Ibnu Abi Hatim (Daripada Qatadah)[1], ayat ini turun pada waktu Perang Uhud, di waktu Nabi Muhammad berada di markas. Pada waktu itu perang sedang sengit dan banyak kecederaan di kedua pihak. Kaum musyrik berteriak “ keagungan untuk Tuhan Hubal”. Kaum muslimin berteriak “Allahu a’la wa ajal”. Nabi berpesan bahawa “ Allah pelindung kami dan kamu tidak mempunyai pelindung”.

 

Ayat ini hanya motivasi kepada orang Islam yang sengit berperang. Mengapa tidak kaitkan dengan siapa orang muslim berperang? Bukankah orang non-muslim juga ada motivasi sendiri semasa perang tersebut? Ayat ini bukan diturunkan semasa orang Islam sedang berehat-rehat serta menggesa umat Islam mencari pasal menyerang tidak tentu arah sahaja. Ayat ini bukan justifikasi untuk proaktif menyerang! Malah baik daripada itu ialah sejarah Rasulullah mencatatkan bahawa baginda tidak pernah menyiksa tawanan sebaliknya menerima tebusan. Mengapa hal ini tidak dihebohkan oleh orang Islam? Berilah mereka ini kefahaman kerana mereka jahil dengan tafsiran sebenar ayat al-Quran.

 

4) Sikap tiada kerjasama dengan non-muslim?

“Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka Telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama (dengan mereka). Maka janganlah kamu jadikan di antara mereka penolong-penolong(mu), hingga mereka berhijrah pada jalan Allah. Maka jika mereka berpaling [2], tawan dan Bunuhlah mereka di mana saja kamu menemuinya, dan janganlah kamu ambil seorangpun di antara mereka menjadi pelindung, dan jangan (pula) menjadi penolong,”

[QS an-Nisa’ 4:89]

 

Ayat di atas langsung tiada kena mengena dengan tuduhan Wilders terhadap umat Islam di Belanda yang dikatakan terlalu isolisasi kehidupannya sehingga menimbulkan keresahan penduduk majoriti. Umat Islam ini dikatakan oleh Ketua Penerangan PKPIM dalam artikelnya:

 

Wilders sebagai salah seorang ahli parlimen di Belanda banyak mengemukan permasalah sosial, termasuklah persoalan migrasi. Ummat Islam yang berhijrah ke belanda dimana beliau rasakan mewujudkan budaya sendiri, mewujudkan komuniti sendiri secara ‘isolated’ tanpa integrasi dengan nilai dan sosio-budaya di belanda. Keadaan ini akhirnya mengakibatkan prejudis yang syak wasangka yang tinggi di dalam masyarakat non-muslim di Belanda. Malah, bagi sesetengah individu seperti Wilders sendiri berasa terancam apabila kelompok minoriti yang berhijrah ini bertindak untuk membina kelompok sendiri.”

 

Saya menyanggah kenyataan ini. Tiada bukti umat Islam di Belanda mengganas. Mengapa perlu menggunakan ayat an-Nisa ayat 89 ini untuk mencerminkan sikap tiada kerjasama dengan non-muslim dalam Islam? Ayat ini diturunkan kepada Abdullah Bin Ubai[3] yang munafik. Allah melarang para sahabat berbaik dengan mereka sehingga memecah belahkan saf tentera Uhud pada ketika itu kerana ada hasutan dari pihak munafik untuk memecah saf ketenteraan tersebut. Salahkah jika ada langkah berhati-hati dan prevensi daripada Nabi jika tenteranya akan kucar kacir? Ia bukan suatu saranan kepada umat Islam agar tidak bekerja sama dengan kaum bukan Islam secara mutlak. Bukankah Rasulullah menggunakan konsep Himayah[4]? Bukankah Rasulullah bertahalluf dalam politiknya? Bukankah Piagam Madinah ada termaktub keadilan kontrak sosialnya? Wilders telah salah tafsir ayat berkenaan. Pemimpin PKPIM tersebut juga terlalu cepat meletak hujah tanpa meneliti tafsiran ayat dengan jitu.

Pada saya penggunaan isu umat Islam minoriti di Belanda yang kelihatan isolisasi hanya justifikasi mereka untuk menyerang nama baik Islam. Penggunaan ayat an-Nisa’ ini juga jauh api dari panggang untuk digunapakai.

 

Penutup

Cuba bayangkan hujah mereka menjustifikasikan penghasilan bahan-bahan sebaran awam sebegini adalah atas dasar kegusaran mereka terhadap sikap isolisasi umat Islam di Belanda. Umat Islam dilihat tidak bercampur gaul sesama penduduk dan seolah ingin cuba membina hegemoni tersendiri. Saya membantah kenyataan seorang pemimpin PKPIM dalam hal ini. Mungkin isolisasi umat Islam di sana adalah disebabkan Belanda yang sekular ingin melacurkan beberapa perlaksanaan syariah tertentu bukan? Tidakkah Malaysia yang memiliki 121 (1A) juga dicabar sistem perundangannya? Ingin menyamarata antara agama. Mempertikai kenapa perlu menukar agama hanya kerana ingin mengahwini gadis Islam. Mempertikai hukum terhadap peminum arak dan zina. Ingin memudahkan proses murtad. Bagaimana pula di Belanda dan negara Eropah yang lain.

 

Sebenarnya ini adalah diskriminasi terhadap umat Islam di Belanda. Barat cukup jelas tindakan mereka mendiskriminasikan ras dan agama. Mereka tidak layak bercakap soal ‘human right’ dan ‘religion right’ kerana ‘etnicity bias’ di sana cukup jelas di mata. Hujah Belanda bahawa kegusaran merka terhadap 1 juta penduduk Islam di sana hanya ingin menjustifikasikan tindakan mereka. Ini hanya ‘single’ filem mereka selama 17 minit. Pasti menyusul filem selama 2 jam pula selepas ini. Umat Islam bersedia!!

 

http://munawwarah.blogdrive.com

https://skuad.wordpress.com

 



[1] Asbabun Nuzul, Penerbit Diponegoro, 2000. Bandung, Indonesia.(lihat tafsiran surah Muhammad ayat 4)

[2] Diriwayatkan bahwa beberapa orang Arab datang kepada Rasulullah s.a.w. di Madinah. Lalu mereka masuk Islam, kemudian mereka ditimpa demam Madinah, kerana itu mereka kembali kafir lalu mereka keluar dari Madinah. Kemudian mereka berjumpa dengan sahabat nabi, lalu sahabat menanyakan sebab-sebab mereka meninggalkan Madinah. Mereka menerangkan bahwa mereka ditimpa demam Madinah. Sahabat-sahabat berkata: “Mengapa kamu tidak mengambil teladan yang baik dari Rasulullah?” Sahabat-sahabat terbagi kepada dua golongan dalam hal ini. Yang sebahagian berpendapat bahwa mereka telah menjadi munafik, sedang yang sebahagian lagi berpendapat bahwa mereka masih Islam. lalu turunlah ayat Ini yang mencela kaum muslimin kerana menjadi dua golongan itu, dan memerintahkan supaya orang-orang Arab itu ditawan dan dibunuh, jika mereka tidak berhijrah ke Madinah, kerana mereka disamakan dengan kaum musyrikin yang lain.

[3] Prof Hamka, Tafsir al-Azhar, Juzuk 5 (halaman 1345)

[4] Adat jahiliyyah iaitu tolong-menolong atas dasar suku keluarga. Baginda dilindungi Bani Hashim semasa dipulau oleh semua Quraisy.


Tindakan

Information

2 responses

16 04 2008
Muhammad

Assalamualaikum,

Harap SPAQ dapat membantu dua org saudara kita yg sedang debat dengan golongan atheism dan kristian di

http://forum.lowyat.net/index.php?showtopic=660538&st=600&p=16780620&#entry16780620

kini tinggal seorang sahaja yg berdebat dengan ramai golongan atheism dan kristian di sana. seorang lagi dah kena ban sebab kuarkan kisah cara incest yang disebut dlm injil berbahasa Inggeris.

27 12 2008
PN

Sama juga. Harap ramai-ramai masuk sini.

Komuniti HARMONI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: