Sambutan Maulidur Rasul: Wadah Pemerkasaan Spiritual Umat

20 03 2008

Perutusan Khas Maulidur Rasul 1429 Hijrah/2008 Masihi

(12 Rabiul Awwal 1429H bersamaan 20 Mac 2008)

 

Sambutan Maulidur Rasul: Wadah Pemerkasaan Spiritual Umat Ke Arah Mendepani Cabaran Aqidah Umat Islam.

Firman Allah s.w.t. dalam al-Anbiyā’ ayat 107:

107. Dan tiadalah Kami mengutus kamu(wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.

Setiap tahun pada 12 Rabiul Awwal, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa majlis sambutan. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul. Di Malaysia, sambutan berupa perarakan, tayangan, ceramah, nasyid, pementasan, deklamasi sajak dan puisi, menjadi acara utama dalam sambutan ini.

Tema Maulidur Rasul pada tahun ini ialah ‘Menjana Ummah Gemilang‘. Berikutan dengan itu, diharapkan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini dapat memberi cetusan penghayatan terhadap perjuangan Rasulullah dalam membentuk peribadi dan diri sahabat-sahabat baginda seterusnya memberi petunjuk serta tauladan buat sekalian umat Islam hingga ke hari ini. Penjanaan kegemilangan ummah hanya dapat dicapai dengan berpegang teguh pada al-Quran dan as-Sunnah serta mengamalkan segala isinya.

Antara tema-tema yang pernah digunakan ialah ‘Perpaduan Pemangkin Pembangunan Ummah‘ (2001), ‘Bersama Hayati Keindahan Islam‘ (2002), ‘Negara Maju Matlamat Kita‘ (2004), ‘Keunggulan Ilmu Teras Kegemilangan Ummah‘ (2006), dan ‘Insan Cemerlang, Ummah Terbilang‘(2007).

Sambutan Maulidur Rasul yang diadakan saban tahun diharapkan dapat menanam satu kerangka asas jiwa umat Islam terhadap aqidah yang sahih. Sandaran penghayatan terhadap sirah nabawi serta faham dalam gerak kerja Rasulullah s.a.w. dalam membawa masyarakat mentauhidkan Allah s.w.t. perlu diterapkan secara berterusan sebelum, semasa dan selepas sambutan Maulidur Rasul.

Realiti masyarakat Islam hari ini jika dilihat dengan telus dan kritikal, memberi satu kerisauan yang melampau. Semakin merebak akar-akar perosak aqidah dalam pelbagai wajah yang menggerunkan bermula daripada Black Metal, Gothic, Golden Rules, fahaman anti-Tuhan(JIT), ajaran sesat, sekularisasi, pluralisme agama, liberalisasi Islam, hinggalah ke murtad. Anasir-anasir ini jika tidak dibendung di peringkat awal dan dihapuskan dengan serta merta akan menjadi lebih merbahaya dan sukar dikawal dalam kalangan masyarakat umum.

Sehubungan dengan itu, Skuad Penyelamat Aqidah(SPAQ) menyeru agar keterlibatan serius badan-badan berikut dalam mempertahankan aqidah umat Islam di Malaysia:

 

  • Badan kerajaan (Majlis Agama): Pemantauan yang serius dan menyeluruh dalam mengenalpasti ancaman-ancaman fahaman perosak aqidah. Penambahan dalam cabang gerak kerja Majlis Agama harus diteliti dan dijalankan dengan telus. Peranan kerajaan juga menjadi kayu ukur utama pengukuhan terhadap kesedaran masyarakat umum dalam mempertahankan aqidah.

 

  • Badan bukan kerajaan (NGO): Bantuan serta sokongan badan bukan kerajaan dalam mendepani isu-isu yang melibatkan aqidah perlu diperkasakan. Punca kerosakan aqidah umat Islam perlu dikaji dan ditentang hingga ke akar umbi supaya tiada langsung ruang untuk anasir-anasir ini membiak secara aktif.

 

  • Jawatankuasa masjid/surau: Pemantauan terhadap anak qariah secara mendalam dan mesra rakyat. Segala aspek yang boleh menjadi punca kerosakan aqidah harus dipandang serius dan saksama. Penerapan kepada kesedaran umat Islam dalam mempertahankan aqidah perlu diteliti dan dilakukan secara berhikmah mengikut natijah pendekatan.

 

  • Pendakwah bebas: Peranan penting pendakwah bebas dalam mendekati masyarakat secara langsung membolehkan pelbagai isu yang mengganggu-gugat aqidah umat Islam dicantas serta-merta. Isu-isu terpencil umat Islam berkaitan aqidah perlu diselesaikan dengan segera dan berkesan agar kesucian Islam langsung tidak dinodai walaupun sesaat.

 

  • Persatuan mahasiswa: Kesedaran serta keterlibatan persatuan mahasiswa harus lebih progresif dan konsisten dalam memberi respon terhadap isu-isu yang merosak aqidah umat Islam. Gerak kerja yang strategik dan bersepadu harus menjadi mainan asas setiap persatuan mahasiswa bagi mewujudkan intelektualisasi yang matang dan mobilisasi yang stabil dalam merungkai permasalahan aqidah umat Islam.

 

Harapan SPAQ semoga sambutan Maulidur Rasul menjadi pencetus penghayatan yang bermakna sebagai benteng ke arah mendepani cabaran aqidah umat Islam kini yang kian meruncing. Adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam mempertahankan aqidah mereka dan saudara se-Islam mereka dalam apa jua cara sekalipun. Semoga penghayatan terhadap perjuangan serta pengorbanan Rasulullah s.a.w. dalam menegakkan Islam menyusup ke dalam sanubari semua umatnya hingga ke Hari Kiamat kelak.

(download perutusan di ‘box’ pada kanan panel blog ini. cetak dan sebarkan kepada semua umat Islam di seluruh Malaysia. semoga usaha kalian diredhai Allah s.w.t.)


Tindakan

Information

One response

2 03 2010
ALIA WASYIFA BINTI ZOLKAPLI

NABI MUHAMMAD S.W.A IALAH NABI KITA, BAGINDA DILAHIRKAN PADA 12RABIULAWAL1430 PADA TAHUN GAJAH.. NABI DIUTUSKAN OLEH ALLAH YANG MAHA ESA DAN MAHA BERKUASA …..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: