
Semalam, 24 Januari 2009 bersamaan 27 Muharram 1430 H telah berlangsung Bengkel Pelancaran LANDAS-SPAQ bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Islam USM. Bengkel yang mendapat kerjasama penuh dari Ustaz Kamaruddin b. Kassim, Koordinator Latihan Aktivis Dakwah Lapangan Isu-isu Sosial ini berjaya mengumpulkan seramai 43 orang aktivis muda. Mereka terdiri daripada mantan-mantan gerakan di dalam dan di luar kampus USM serta pelajar-pelajar USM dan Institut Perguruan Persekutuan Pulau Pinang secara amnya.
Bengkel Pelancaran LANDAS-SPAQ ini adalah bengkel yang julung kali diadakan sebagai langkah awal untuk Anak Muda Cinta Masyarakat(AMiM) melakukan gerak kerja. Saudara Hisyamuddin iaitu mantan exco PMIUSM akan menggerakkan kumpulan dakwah ini.
Aturcara bengkel bermula dengan ucapan aluan oleh Koordinator 2 SPAQ, Saudara ‘Izzat Anwari yang diwakili oleh Saudara Hisyamuddin. Seterusnya Ustaz Kamaruddin mengambil alih slot pertama iaitu pengenalan kepada LANDAS. LANDAS yang berpusat di Sungai Petani, Kedah telah sekian lama menjadi tempat ataupun medan bagi menyediakan aktivis-aktivis muda untuk turun dan mendekati masyarakat khasnya golongan remaja yang bermasalah. Ustaz Kamaruddin adalah tenaga penggerak yang memainkan peranan penting dalam siri bengkel teori serta praktikal yang hingga kini telah berjaya melebarkan sayapnya ke kampus-kampus di kawasan selatan tanah air. Maklumat lanjut aktiviti yang telah dijalankan oleh LANDAS boleh diketahui dengan melayari blog http://urusetialandas.blogspot.com/

Slot kedua bersama Ustaz Kamaruddin bermula selepas solat Maghrib. Dalam sesi ini, beberapa teknik dan masalah-masalah dalam melakukan dakwah lapangan dikongsi bersama peserta bengkel. Ustaz Kamaruddin mengingatkan peserta untuk bersikap ‘hemoi’ atau mudah mesra apabila mendekati individu mahupun keluarga yang terlibat yang terlibat dengan masalah sosial. Selain itu, peserta juga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan berkenaan enakmen serta undang-undang syariah di negeri masing-masing. Pengetahuan ini akan melancarkan lagi aktiviti dakwah lapangan yang akan dilakukan kelak.

Selepas tamat sesi kedua, tiba pula slot persediaan untuk peserta bengkel. Mereka dibahagikan kepada 7 kumpulan dan setiap kumpulan diminta memilih satu isu sosial yang melingkari remaja kini. Setiap kumpulan akan melakukan kajian terperinci mengenai isu tersebut dan bakal menjadi pakar rujuk jika ada pihak yang memerlukan bantuan dan maklumat dari mereka. 7 isu yang dipilih ialah seks bebas, murtad, gothic, pelacuran, pengkid, pondan dan rempit. Hasil kajian ini akan dibawa bersama semasa sesi praktikal bersama Ustaz Kamaruddin yang dirancang pada bulan hadapan. Melalui kaedah kajian berterusan ini, SPAQ mengharapkan penyertaan peserta tidak terhenti di bengkel pertama ini sahaja malah mereka akan terus berada dalam medan dakwah lapangan walaupun bergerak secara individu.
Wardah bt Abdul Rahman
Unit Media SPAQ





Komen Terbaru