Peranan Pemuda Penggerak Islam

24 03 2008

Pada 22 Mac lepas, saya bersama sahabat baik, Nurfitri Amir berpeluang bersembang dengan Dr. Fadhlullah Jamil sewaktu menemani beliau ke Hiwar Ulama’ di Masjid Penghulu Him, Sungai Petani, Kedah. Dr. Fadhlullah merupakan pensyarah di Universiti Sains Malaysia yang sangat bergiat aktif dalam gerak kerja Islam. Beliau kini adalah Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) dan Yang Dipertua Wadah Pulau Pinang. Di bawah adalah antara nasihat beliau kepada saya sewaktu perbualan kami dalam memperkasakan kembali golongan pemuda Islam umumnya dan penggerak-penggerak SPAQ khususnya. Semoga menjadi perkongsian bermakna buat pembaca sekalian.

Pembinaan Budaya Ilmu

Golongan pemuda penggerak Islam kini terlalu kurang ilmu menyebabkan segala isu berkaitan anti-Islam yang timbul tidak dapat direspon dan ditangkis dengan sempurna. Kekurangan kesedaran dalam mempertahankan Islam dalam kalangan pemuda harus dipandang serius dan diambil tindakan yang segera. Ilmu serta pemahaman terhadap Islam yang ditanam sewaktu muda inilah yang menjadi bekal sesudah tua kelak. Ilmu yang datang tanpa pemahaman amat berbahaya dan boleh melahirkan pemuda yang menyeleweng dari segi matlamat perjuangan Islam. Kesibukan mahasiswa di IPT juga mestilah dalam skop yang berkaitan dengan isu-isu kemasyarakatan. Jangan terlalu memfokus kepada isu remeh hingga keutamaan untuk membela Islam jatuh ke tangga ke-2 atau seterusnya. Ini harus dipandang oleh semua golongan pemuda terutama pimpinan-pimpinan gerakan mahasiswa di IPT.

Perkongsian Ilmu serta Pengalaman daripada Golongan Tua

Dalam memperkasakan ilmu serta idealisme, golongan pemuda mestilah banyak bergaul dengan golongan veteran dalam gerak kerja dakwah dan kemasyarakatan. Kekurangan keterlibatan antara golongan pemuda dan golongan tua ini boleh menjadi salah satu punca salah faham dan pepecahan gerak kerja Islam. Segala tunjuk ajar daripada golongan yang lebih berpengalaman haruslah dijadikan iktibar dan nasihat yang berguna dalam meneruskan usaha-usaha pengislahan masyarakat kini. Kombinasi yang sihat antara pemikiran dan gerak kerja kedua-dua generasi ini mematangkan umat Islam serta mewujudkan satu impak yang progresif dan dinamik dalam usaha-usaha yang dijalankan. Bak kata pepatah Melayu, “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

Keutuhan Aqidah Yang Sahih

Teras kekuatan umat Islam terletak pada aqidah. Segala gerak kerja yang dilakukan wajib didahulukan dengan pemahaman aqidah yang sahih lagi benar. Kebanyakan penggerak Islam terdahulu ‘tersungkur’ dan ada yang menjadi musuh utama kepada Islam adalah akibat daripada kelemahan aqidah serta kecetekan pemahaman terhadap aqidah yang sahih. Kebergantungan sepenuhnya golongan pemuda penggerak Islam terhadap seseorang atau sesuatu selain Allah s.w.t. mestilah dihindari dan dielakkan. Ugutan yang berupa ancaman fizikal (bunuh dan sebagainya) serta rezeki (jawatan, kuasa, gaji, dan sebagainya) menjadi halangan utama kepada penggerak Islam. Namun, kekuatan aqidah yang benar-benar kukuh dapat menangkis serangan ini dengan mudah atas bantuan Allah s.w.t. Ini telahpun dibuktikan melalui sejarah terdahulu. Semua perkara di dunia ini tidak akan terjadi melainkan kuasa Yang Maha Esa sahaja.

Doa Sebagai Senjata Terpenting Perjuangan

Setiap pemuda penggerak Islam tidak dapat tidak berdoa kepada Allah s.w.t. dengan penuh pengharapan dan rasa kehambaan. Segala gerak kerja yang dilakukan mestilah disandarkan kepada Allah s.w.t. semata-mata. Ketakutan kepada manusia dan makhluk lainnya mestilah diketepikan apabila berjuang menegakkan Islam. Sunnah berjuang menegakkan Islam seperti menggenggam bara api (mafhum hadith). Jika Allah s.w.t. diletakkan keutamaan yang hakiki dalam kehidupan, tiada apa yang dapat menghalang pemuda penggerak Islam dalam berjuang kecuali Allah s.w.t. semata-mata. Sandaran yang kukuh inilah harus ditekankan sehingga keyakinan para pemuda Islam terhadap perjuangan benar-benar murni. Doa mestilah menjadi senjata terpenting dalam perjuangan supaya tidak timbul rasa riak serta megah apabila perjuangan yang dilakukan berjaya mencapai matlamat.

Perancangan Keluarga Yang Teliti

Perancangn untuk membentuk keluarga yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah mesti dimulakan dari sekarang. Pemilihan calon isteri/bakal suami perlu dilakukan dengan teliti dan bersandar kepada perjuangan Islam tanpa diskriminasi. Kurang penekanan terhadap isu ini menjadikan ramai pemuda penggerak Islam ‘hanyut’ setelah melepasi alam perkahwinan. Tuntutan-tuntutan keluarga serta keadaan rumah tangga kadang-kala menguji tahap keimanan serta konsistensi perjuangan menjadi alasan para pejuang ini makin ‘hilang’ dan terkubur tanpa nisan. Namun, isu ini juga bukanlah mesti dibicarakan 24 jam sehingga hilangnya fokus kepada perjuangan menegakkan Islam. Ramai juga pemuda penggerak Islam yang terlalu merancang hingga mereka menjadi lemah akibat kurang sensitif terhadap isu utama umat Islam masa kini. Perancangan keluarga mestilah diimbangi dengan gerak kerja dakwah dengan meletakkan perjuangan sebagai prioriti manakala perancangan keluarga adalah salah satu strategi untuk istiqamah dalam perjuangan tadi.

Perbualan kami diakhiri dengan perkongsian pengalaman beliau dalam gerak kerja dakwah. Pahit manis perjuangan yang diceritakan oleh beliau dipenuhi dengan pengajaran. Harapan beliau kepada generasi muda hari ini supaya bangun serta memperkukuhkan Islam dengan semampu mungkin. Kekuatan dalam perjuangan juga mesti dipinta melalui doa daripada Allah s.w.t. supaya kita tidak tersesat atau menyeleweng. Beliau juga berharap dengan berakhirnya nafas generasi tua hari ini disambung dengan nafas generasi muda yang matang dan agresif dalam memperjuangkan Islam kerana Allah s.w.t. semata-mata.

Koordinator 2 SPAQ: `Izzat Anwari bin Hasni

About these ads

Tindakan

Informasi

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: